Tuesday 29 January 2013

SOTO AYAM

Soto? Kalau nak makan soto, tak syak lagi, aku rasa kat Muar lah soto yang paling sedap...

Bila-bila ada masa, silalah ke Muar... dan dapatkan rempah soto WAK SERNAN.... 

Amat Sedap dan simple, tak payah renyah-renyah. Ikut saja resepi yang tertera di bungkusan, Insyaallah menjadi !!

Jom masak soto ikut resepi rempah soto Wak Sernan................

Sangatlah sedap!!!




Rempah Soto Wak Sernan sungguh sedap!!

Bahan-bahannya:

Kuah Soto:

2 ekor ayam kampung / ayam telur  - bersih & belah dua
3 1/2  liter air untuk mereneh:
6 sudu besar rempah soto Wak Senan
garam secukup rasa

Bahan-bahan lain  untuk  hidangan:

beehoon  - direndam & dicelur  hingga lembut
nasi impit - di potong kiub
taugeh - di bersihkan 
tangkai daun bawang & daun sup 
bawang goreng
bergedel, sambal cili  kicap
keropok ikan,  kacang goreng


Cara-cara penyediaannya:

  1. Masakkan air di dalam periuk bersama rempah soto.
  2. Masukkan ayam dan renehkan sehingga ayam lembut. Tambah lagi rempah soto sehingga cukup rasa.
  3. Masukkan garam secukup rasa.
  4. Angkat ayam, toskan, carik-carikkan dagingnya. Ketepikan.
  5. Panaskan sup soto.
Cara menghidangkannya:
  • Letakkan beehoon, nasi impit, bergedil, taugeh, daun sup & bawang.
  • Sendukkan sup soto panas kedalam pinggan.
  • Letakkan bawang goreng, sambal cili kicap dan kacang goreng.
  • Selamat menjamu selera!!!
Resepi Sambalnya:

20 biji cili padi
5 sudu besar kicap manis
1 sudu besar gula 

Cara Menyediakannya:


  1. Celor cili padi dengan kuah soto.
  2. Blendkannya dan gaulkan dengan kicap dan gula. Kacau rata.








Mai Sepinggan !!


Monday 28 January 2013

ACAR TIMUN MENTAH

Acar Timun Mentah - biasanya dijadikan kondimen yang wajib bila kita hidangkan nasi dagang, nasi minyak, nasi biryani, nasi tomato, nasi hujan panas ...... atau nasi putih biasa pun sedap.

Resepi menyediakannya amat mudah sekali tetapi harus ada keseimbangan rasa masam manisnya. Perlu juga diambil kira timun dan nanasnya. Kalau nak sedap biarlah pilih timun dan nanas yang berkualiti sikit..

Jom kita buat acar timun mentah....



Bahan-bahannya:

1/4 biji nanas Sarawak
1 biji timun 
1 biji cili merah
1 labu bawang besar
4 sudu besar cuka
garam dan gula secukup rasa

Cara Menyediakannya:
  1. Bersihkan nanas, buangkan matanya  dan hiris nipis-nipis.
  2. Bersihkan timun, belah dan buangkan biji & potong memanjang.
  3. Bersihkan cili dan hiris nipis-nipis.
  4. Kupas bawang , belah empat dan potong nipis-nipis.
  5. Campurkan semua bahan sayuran di atas dalam bekas.
  6. Masukkan cuka, garam dan gula secukup rasa.
  7. Hidangkan!



Mai Sepinggan!!


Sunday 27 January 2013

NASI KERABU

Nasi Kerabu -  Kalau sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam, aku rasa nasi kerabu adalah makanan seimbang & lengkap. 

Nasi Kerabu ini adalah makanan asal orang Pantai Timur - Kelantan, Terengganu & Kuantan (Pahang). Penyediaan nasi kerabu juga berbeza ikut daerah-daerah.... dan yang wajib ialah budu - tak ada budu tak kick !

Resepi nasi kerabu aku masak adalah kombinasi dari kawan-kawan yang pernah ajar seperti Norhayati Mohammad, Norhasifah Abd Ghani dan Mak Wan tukang urut dari Kemaman. 

Nak buat Nasi Kerabu mesti pandai buat tumisnya dan juga sambal @ serundingnya. 



Ok pertamanya kita buat Kuah Tumisnya..

Bahan-bahannya:

1/2 kg santan
7 sudu besar cili kering yang sudah dimesin
9 ulas bawang merah - di tumbuk halus
2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
1 inci halia - ditumbuk halus
1 inci belacan
1 keping asam gelugor
1 batang serai
gula melaka dan garam secukup rasa
1 sudu besar minyak untuk menumis

Cara Penyediaannya:
  1. Panaskan minyak dalam  periuk dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia.
  2. Masukkan cili mesin dan kacau hingga naik minyak.
  3. Masukkan serai, belacan. santan dan gula melaka.
  4. Masukkan asam keping & garam.
  5. Kacau hingga masak.
  6. Angkat dan hidangkan bersama nasi kerabu.

Serunding Nasi Kerabu
Bahan-bahannya:

5 ulas bawang merah
1 inci halia
2 sudu teh lada hitam
1/2 biji kelapa dibuat krisik tapi jangan sampai berminyak
4 ekor ikan kembung direbus dan ambil isinya sahaja

Cara Penyediaannya:
  1. Tumbuk bawang , lada hitam dan halia sampai halus.
  2. Masukkan ikan, garam dan gula secukup rasa.
  3. Hidangkan bersama nasi kerabu
Ulam-ulaman Nasi Kerabu

Bahan-bahannya:
Semua bahan untuk ulam-ulaman dihiris halus-halus dan hidangkan bersama.
  • Taugeh, kacang panjang, kobis, daun kesom
  • daun serai wangi, bunga kantan bawang besar, serai 

OpppppSSSS !!! JANGAN LUPA BUDU CAP 3 KETEREH !!!




Mai Sepinggan!!



Saturday 26 January 2013

Kacang Panjang & Sawi Tumis

Hah.... kacang panjang! Apa nak buat dengan kacang panjang hari ini?? Ada sawi Cina juga! Dua dalam satu aja kan senang- tumis kacang panjang & masukkan sawi juga. 

Mai kita try !

Tumis kacang  panjang & sawi 
Bahan-bahannya:

6 papan kacang panjang - dibersih & potong
1 batang pokok sawi - dibersih & potong
1 labu bawang besar - dipotong
1 biji cili merah - dipotong serong
1 ulas bawang putih - dimayang
garam secukup rasa
2 sudu minyak untuk menggoreng

Cara membuatnya:

  1. Panaskan kuali dan tumiskan bawang putih sehingga kuning.
  2. Masukkan kacang panjang dan bawang besar.
  3. Kacau hingga layu.
  4. Masukkan sawi dan cili merah & kacau hingga layu.
  5. Angkat dan hidangkan.

Mai Sepinggan !!



Friday 25 January 2013

GULAI IKAN TONGKOL

Gulai Ikan Tongkol atau Ikan Kayu atau Ikan Ayer ini lawannya  dengan nasi dagang.

Resepi ini juga  diberikan oleh sahabat aku iaitu Norhasifah. Alhamdulillah, tak pernah dia lokek untuk mengajar atau bagi petua untuk masak gulai ni... 

Jom kita kongsi ilmu ini bersama-sama...

Gulai ikan tongkol

Jom buat gulai ikan tongkol resepi Nora!

Bahan-bahannya:

2 ekor ikan tongkol  - dibersihkan dan potong
15 keping asam gelugor
2 keping gula melaka
5 ulas bawang merah
1 inci halia
1 inci lengkuas
6 sudu cili kering yang sudah dimesin
4 sudu rempah kari ikan - jadikan pes
1/2 kg santan pekat
garam secukup rasa
7 biji cili padi
10 biji belimbing buluh
3 sudu besar minyak untuk menumis

Cara Memasaknya:
  1. Garamkan  ikan tongkol dan rebuskannya dengan sedikit air,  asam gelugur dan gula melaka.
  2. Biarkan sejuk semalaman.
  3. Mesinkan halia, lengkuas, bawang merah sehingga lumat dan campurkan dengan pes rempah dan cili mesin.
  4. Panaskan minyak dalam periuk dan tumiskan semua bahan di atas.
  5. Kacau hingga naik minyak.
  6. Masukkan santan dan kacau sebentar.
  7. Masukkan ikan, garam secukup rasa, cili padi, belimbing. ( Kalau suka masukkan gula melaka)
  8. Biarkan hingga mendidih.
  9. Angkat dan hidangkan 


Enak !!



Mai sepinggan !!



NASI DAGANG


Assalamualaikum .... 
Hai....  Hari ini kita pakat buat nasi dagang deh... minat wei makan nasi dagang ni.. aku mula tertawan dengan nasi dagang ini melalui  kawan-kawan orang Kelantan. Ramai sahabat handai aku  orang-orang dari Negeri Che Siti Wan Kembang.... 

Bestnya ada ramai kawan!!

Nasi dagang yang paling sedap aku makan ialah yang dimasak dari sahabat yang bernama Norhasifah. Kadang-kadang panggil dia Nora, atau Ra... memang tak boleh lawan nasi dagang dia, ditambah dengan gulai ikan tongkol dan acar nya... MEMANG SEDAP!

Hari ini aku teringin sangat nak makan nasi dagang Kelantan. Aku ikut saja resepi yang Nora ajar sebab aku tahu pasti  sedap !

Jom masak nasi dagang Resepi Norhasifah..


Nasi Dagang Beras Merah

Bahan-bahannya:

1 kilo beras nasi dagang Kelantan (Perang)
1/2 kilo santan pekat - masukkan garam dan gula secukup rasa
1 inci halia - dimayang halus
4 labu bawang merah - dimayang nipis
1 sudu besar halba

Cara Menyediakannya:
  1. Rendam beras nasi dagang semalaman 
  2. Toskan beras dan kukus hingga naik wap.
  3. Angkat dan kacau dengan air ( atau boleh guna santan cair)
  4. Kukus kembali sehingga lembut dan masukkan hirisan halba dan bawang merah.
  5. Angkat dan gaulkan dengan santan pekat sehingga rata.
  6. Kukus lagi hingga naik wap.
  7. Angkat dan hidangkan bersama gulai ikan tongkol serta acar jelatah.

Nasi dagang & kari Ikan tongkol & Acar 




Mai Sepinggan!!




Monday 21 January 2013

PULUT SEKAYA @ SERIMUKA

Pulut Sekaya  dikenali dengan berbagai nama.... pulut Seri Muka @ Seri Kaya atau kami orang utara panggil Pulut Sekaya.

Hidangan petang yang digemari... atau bila-bila masa pun tak ada halangan...

Pulut Sekaya kita makan apabila  sudah sejuk. Pulut Sekaya yang sedap ialah  "kepala" atau atasnya tidak keras tetapi lemak bersantan, cukup garamnya dan wangi daun pandan......  manakala "kakinya" - bahagian pulutnya tidak lembek atau mentah.

Sedap sangat!
Pulut Sekaya tidak sempurna jika kepalanya nampak cantik tetapi tiada rasa, maksudnya hanya tepung, pewarna dan santan !!

Biasanya, kalau dihidangkan pulut sekaya,  tengok rupanya saja dah aku tahu sedap atau tidak... jangan marah ye... memang aku cerewet!!

Jom tengok resepi Pulut Sekaya resepi yang duturunkan oleh emak aku sejak dahulu lagi....

Bahan-bahannya:

1/2 kilogram beras pulut ( biasalah.. aku guna pulut susu & rendam 1/2 jam)
300 gm gula pasir
6 biji telor ayam
4 cawan santan pekat
3 sudu besar tepung gandum
13 helai daun pandan
1/2 sudu teh jintan manis
1/2 inci halia
garam secukup rasa

Cara menyediakannya:

Sekaya: 
  1. Kisar daun pandan, jintan manis dan halis bersama 2 cawan air.
  2. Perah dan ambil airnya ( jus pandan).
  3. Pukul telur dengan gula sehingga hancur ( aku blend sekali).
  4. Masukkan tepung, garam dan jus daun pandan.
  5. Masukkan 2 cawan santan dan kacau sampai sebati. Ketepikan 
Pulut:
  1. Gaul beras pulut dengan baki santan dan masukkan garam secukup rasa.
  2. Masukkan pulut ke dalam loyang dan pastikan santan sama paras dengan pulut.
  3. Kukus sehingga masak dan bila masak angkat dan tekankan supaya rata dan padat.
  4. Masukkan pulut ke dalam kukusan semula.
  5. Kacau adunan sekaya dan tuangkan ke atas pulut. 
  6. Kukus sehingga masak, pastikan sekaya tidak ditimpa wap.
  7. Angkat dan potong setelah sejuk.

Biarkan sejuk & potong 

Hijau daun pandan !!




Mai sepinggan !!



Sunday 20 January 2013

CUCUR KERIA @ KUEH KERIA- DONUT UBI (?)

Cucur Keria @ Kueh Keria adalah merupakan makanan Melayu tradisi. Biasanya dihidangkan semasa minum petang. Hari ini  Cucur Keria ini dah dibawa masuk majlis.... kat hotel pun ada dihidangkan. Bahan utamanya ialah ubi keledek dan gula serta sedikit tepung.

 Cuma bezanya kalau kita buat sendiri tentulah berbeza dengan yang dibeli kerana buat sendiri, kita boleh letak ubi keledeknya banyak dan akan terasa sedapnya. 

Kalau beli... biasalah... tepung yang banyak! Oleh itu keras boleh baling dinding !!

Jom kita buat Cucur Keria - ikut resepi yang emak saya ekk !!

Cucur Keria yang disalut gula
Bahan-bahannya: 

700 gm ubi keledek 
150 gm tepung gandung
1 cawan gula pasir
garam secukup rasa
minyak untuk menggoreng secukupnya

Cara-cara membuatnya:

  1. Bersihkan keledek dan rebus hingga lembut.
  2. Angkat, sejukkan, buang kulit  dan lenyek sehingga lumat.
  3. Campurkan tepung gandum, ubi dan garam & uli sehingga sebati.
  4. Bentukkan bulat-bulat, leperkan  dan buat lubang ditengahnya.
  5. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
  6. Masakkan gula pasir sehingga pekat dan hampir kering.
  7. Apabila pekat angkat dan celupkan cucur keria tadi kedalam air gula.
  8. Angkat dan toskan. Bila sejuk, hidangkan.


Hidangkan besama kopi panas !!


Mai Sepinggan !!

Saturday 19 January 2013

IKAN KEMBUNG REBUS

Salam.... hai.. buat apa ya untuk makan tengahari ini? Bila penat idea pun kering kontang... Apa-apa yang simple dan membangkitkan selera menjadi pilihan hari ini...

Ok... ikan kembung rebus semalam yang disimpan dalam fridge kalau digoreng & makan dengan nasi panas-panas chun sangat !!

Jom ... aku rasa kalau ikan kembong rebus ni semua orang tahu...



Ikan kembung segar

Ikan kembung ni kalau kat KL... boleh mencapai RM12 sekilo... tapi kalau luar KL masih lagi RM4.00..... tengok musim..



Ikan kembung rebus

Walau bagaimana pun ini lah cara aku...

Bahan-bahannya:

1 kilo ikan kembung - dibersihkan
5 sudu besar garam - kalau tak mahu masin boleh dikurangkan
10 keping asam gelugor
2 batang serai (kalau suka) 

Cara menyediakannya:
  1. Perapkan ikan kembung dengan garam rata-rata.
  2. Susunkan ke dalam periuk.
  3. Masukkan asam keping dan sedikit air.
  4. Jika suka, masukkan  serai.
  5. Rebus sehingga masak.
  6. Sejukkan dan supaya lebih sedap, biarkan dua tiga hari.

Ikan kembung goreng


Sambal kicap

** Ikan kembung rebus ini boleh digoreng, & makan dengan sambal kicap, dibuat solok atau dibuat kerabu isi iakan...
Cubalah..


Mai Sepinggan !



Friday 18 January 2013

MEE SUP- MEE SUP - MEE SUP DAGING SEDAP!!

Hai... jom kita pakat buat mee sup hari ini.. Mee sup daging memang sedap!! Aku teringat masa dulu-dulu, ayah suka makan mee sup daging ni...tapi biasanya dia makan bersama nasi...

Mee sup ni aku kira makanan seimbang... ada karbohidrat, ada protin dan ada  segala vitamin  serta mineral dari sayuran hijau. Pendek kata makanan yang lengkap !! Untuk menjamin mee sup ni sedap aku gunakan daging lembu bahagian betis, direbus sampai lembut......

Resepinya??? Aku pandai-pandai sendiri saja, ikut apa yang pernah belajar dari emak dulu :)



dijamin BEST!!

Bahan-bahannya:

1 paket mee kuning basah
4 batang sawi cina - dibersih dan di potong 
1/2 kg daging betis - direbus sehingga lembut dgn 2 liter air
(simpan air rebusan & daging di hiris)
2 papan fish cake -dihiris nipis
10 biji bebola ikan - dibelah 2
2 inci karot - di potong panjang dan halus
1 biji tomato - belah enam 
2 ulas bawang merah dan bawang putih - ditumbuk
3  sudu besar minyak untuk menumis
garam secukup rasa.
1 biji cili merah dipotong serong untuk hiasan

Cara-cara penyediaannya:

  1. Panaskan kuali besar & masukkan minyak. 
  2. Tumiskan bawang yang ditumbuk.
  3. Masukkan air rebusan daging.
  4. Masukkan karot, daging, bebola ikan, fish cake, mee kuning dan biarkan mendidih.
  5. Masukkan sawi, tomato dan akhir sekali garam secukup rasa.
  6. Biarkan semuanya masak. Awas jangan sampai semua sayur menjadi lecur.
  7. Angkat dan hidangkan......


Nyum.. nyummmm!




Mai Sepinggan !!

Tuesday 8 January 2013

LABU TUMIS

Hi.... penat atau tidak mesti masak. Yang penting tak makan di luar - kedai makan atau gerai, restoran @ hotel.  Aku lebih rela makan di rumah meski terpaksa masak ..

Labu Siam @ Manisa @ Chayote @ Cho-cho - ditumis & bikin sayur, tambah udang & sedikit karot...Alamak sedapnya!!!! 

Labu Siam @ Manisa @ Chayote

Senang sangat masak buah labu ini....

Jomlah cuba...

Sedap sangat !!
Bahan-bahannya:

1 biji labu Siam/Manisa - dihiris
1 inci karot - dipotong kecil-kecil
6 ekor udang basah (saiz - terpulang; aku guna kecil je)
2 biji bawang merah & putih - ditumbuk
600 ml air
garam secukup rasa

Cara menyediakannya:

  1. Panaskan minyak di dalam periuk.
  2. Tumis bawang dan kacau sampai layu.
  3. Masukkan udang, buah labu dan karot, kacau seketika.
  4. Masukkan air dan garam.
  5. Biar sehingga mendidih dan labu Siam lembut, masukkan garam.
  6. Angkat dan hidangkan.




Mai Sepinggan!!







Monday 7 January 2013

BISKUT DAHLIA

Biskut Dahlia... biasanya nak raya orang buat... tapi hari-hari biasa boleh juga buat, apatah lagi kalau ada tamu datang... jamu lah biskut yang cantik-cantik dan sedap... takkan nak jamu karipap aja tiap hari !

Biskut ni simple aja... tapi mau rajin. Ini adalah resepi yang diberikan oleh Akak Amnah. 

Jom buat biskut Dahlia..

Bahan-bahannya:

1 cawan butter
3/4 cawan gula icing
1 biji telor
1/2 cawan tepung ubi digoreng dulu
1/2 cawan tepung kastad
3 cawan tepung gandum digoreng dulu - kurangkan 2 sudu besar & gantikan dengan susu tepung
1/2 sudu teh vanilla

Cara membuatnya:
  1. Masukkan butter dan gula ke dalam mangkok adunan & putar.
  2. Masukkan telur.
  3. Masukkan tepung yang telah diayak.
  4. Uli sampai rata.
  5. Semasa nak tekan dalam acuan, masukkan sikit tepung kastad.
  6. Letakkan ceri merah/hijau/ kismis & bakar.


Biskut Dahlia



Mai Sepinggan!





Sunday 6 January 2013

TAUHU GORENG

Tahu goreng !!
Hari paling simpoi.... makan tahu goreng !! Teringat semasa melawat ke Sumedang, Indonesia..... TAHU SUMEDANG memang terkenal dan rasanya sangatlah sedap!!
Dijual tepi jalan, diisi dalam bekasnya macam raga diperbuat daripada buluh .....makan panas-panas bersama cili padi! Sedap sangat!!

Hah !! tahu goreng pun nak buat cerita ka??


Tahu ni beli kat pasar Jasin, Melaka

Bahan-bahannya:

5 keping  tahu segar- kita belah 2
garam secukup rasa
minyak secukupnya untuk menggoreng

Cara menyediakannya:

  1. Perapkan tahu dengan sedikit garam.
  2. Panaskan minyak dalam kuali.
  3. Gorengkan tahu sehingga kekuningan.
  4. Angkat dan hidangkan.

******kita boleh hidangkan tahu bersama cili padi @ sambal kicap @ sos cili @ sos tomato @ sos Thai atau apa yang saja sos @ mayo...

Sambal kicap & Tahu 



sambal kicap & cili api 





Mai Sepinggan !!



Friday 4 January 2013

UDANG HARIMAU - KARI PEKAT


 Udang Harimau masak kari

Jeng ! Jeng!.. balik kerja hari ni nak masak apa?? Kalau orang utara, tiap hari masak kari pun tak pa... tapi nak masak kari apa???

Jenguk-jenguk dalam freezer, ada udang harimau Sabah & boleh dikarikan ....
Kari udang ni aku  kahwinkannya dengan ubi keledek, ngam sangat... pekat-pekat gitu !!
Tapi hari ini aku tak guna santan!! 

Jom tengok resepinya yang dah aku masak...

Bahan-bahannya:
5 ekor udang harimau
4 sudu  besar rempah kari udang - jadikan pes (campur sikit air)
1 biji ubi keledek - dipotong kiub
1 biji tomato - dibelah empat
3 ulas bawang merah - ditumbuk 
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 sudu teh halba campur
1 tangkai daun kari
2 sudu besar air asam jawa
4 sudu besar minyak untuk menumis
garam secukup rasa
1/2 cawan air

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bawang yang ditumbuk berserta halba campur sehingga kekuningan.
  2. Masukkan rempah kari dan daun kari, kacau hingga naik minyak dan wangi.
  3. Masukkan ubi keledek, kacau dan bila empuk masukkan udang.
  4. Masukkan air, air asam jawa, garam & tomato.
  5. Masakkan sehingga agak pekat.
  6. Angkat & hidangkan.....TERBAIK !!!!




Mai Sepinggan!

















Thursday 3 January 2013

IKAN TENGGIRI & MANISA ASAM PEDAS

Hari ini aku dapat sebiji buah labu Siam. Sesetengah orang bilang buah Manisa. Sememangnya buah ini banyak di pasar-pasar malam atau pasar pagi atau pasar tani, cuma aku tak pernah cuba. 



Fikir punya fikir, aku dapat idea, apa kata buat asam pedas tumis buah labu ini dengan ikan tenggiri....

Ikan tenggiri kita memang selalu buat asam pedas, tapi biasanya dicampur sama bendi. Kali ini kita gantikan bendi dengan labu Siam/ Manisa.

Jom buat asam pedas tumis tenggiri dengan buah manisa.



Bahan-bahannya:



3 keping ikan tenggiri
1 biji buah manisa
3 ulas bawang besar - ditumbuk
2 ulas bawang putih - ditumbuk
1 batang serai - dititik
1 cawan cili mesin
600 ml air
2 keping asam keping
3 tangkai daun kesum
1 kuntum bunga kantan
garam secukup rasa
minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah dan bawang putih.
  2. Masukkan cili mesin dan masak hingga naik minyak.
  3. Masukkan buah manisa dan air.
  4. Masukkan serai, ikan, bunga kantan, asam keping dan garam.
  5. Masakkan hingga mendidih atau semua bahan lembut.
  6. Masukkan garam secukup rasa.
  7. Angkat dan hidangkan.



Mai Sepinggan !!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...